Background
GPMS SUARA BANGSA
GPMS akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke 77 tahun pada 15 Ogos 2025. Bermula dengan sejarah penubuhan, struktur dalaman, visi serta cabaran hinggalah harapan Presiden untuk melihat GPMS kekal relevan sebagai wadah adiwangsa kepada pelajar Melayu. Segala-galanya bermula melalui peringkat akar umbi hinggalah kepimpinan yang sedia ada termasuk bantuan daripada semua pihak yang mempunyai roh serta semangat dalam perjuangan GPMS.
Hubungi Kami
Infomasi Terkini
Persidangan Agung Tahunan GPMS Ke-71
Persidangan Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Ke-71 telah berlangsung dengan jayanya pada 18 hingga 19 Julai 2025 bertempat di Savanna Hill Resort, Johor. Dalam persidangan tersebut, Fazreen Fauzi telah mengekalkan jawatan selaku Presiden GPMS bagi penggal kedua untuk sesi 2025–2028.
Slogan baharu kepimpinan GPMS, "Suara Bangsa", menjadi pegangan utama dalam memperkukuh hala tuju perjuangan organisasi ini. Slogan ini berlandaskan prinsip asas perjuangan "4 Sedar GPMS" yang telah diasaskan sejak tahun 1948. Ia menyeru seluruh ahli agar menghayati kembali sejarah penubuhan GPMS, meneladani perjuangan para pemimpin terdahulu, serta memperkukuh semangat dan identiti organisasi.
Kepimpinan GPMS di semua peringkat dari pucuk pimpinan tertinggi hingga ke akar umbi diseru untuk kembali bergiat aktif di peringkat sekolah dengan menjayakan aktiviti pendidikan dan sosial. Ini termasuklah penganjuran kelas bimbingan, kem pengukuhan jati diri, dan pelbagai program lain yang mampu membina sahsiah serta kecemerlangan pelajar Melayu di seluruh negara.
Warga GPMS juga digesa untuk belajar bersama, saling memperkukuh dan menyatukan tenaga dalam usaha mengangkat martabat bangsa Melayu. Penyatuan ini penting bagi memastikan darjat dan kedudukan bangsa terus terpelihara dan dijulang.
GPMS akan terus mewarisi semangat yang ditinggalkan oleh tokoh pengasasnya, Allahyarham Dato' Seri Aminuddin Baki, yang sering menyeru anak bangsa supaya "Belajar, Terus Belajar" serta memberi peringatan yang mendalam melalui kata-kata:

“Itik di air mati kehausan, ayam di kepok mati kelaparan”,
sebagai lambang pentingnya ilmu dalam memajukan bangsa.
PENGENALAN LOGO
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
Logo GPMS adalah berbentuk perisai berwarna hijau yang menpunyai peta Semenanjung Malaysia berwarna putih dan tangan yang memegang obor api merah di bahagian tengahnya. Di bahagian bawah terdapat nama GPMS iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.
Lidah Api
Lidah api pecah enam menunjukkan Rukun Iman dan keimanan manakala pecahan cahaya lima membayangkan Rukun Islam.
Peta
Peta Semenanjung menunjukkan gerakan pelajar-pelajar Melayu di Semenanjung Malaysia.
Merah, Putih, dan Hijau
Warna putih bermaksud kesucian dan kemurnian hati manakala warna merah menggambarkan kebenaran dan keberanian. Warna hijau menunjukkan kepulauan dan Nusantara Bangsa Melayu yang subur dan kaya-raya.
Obor Api
Obor api menandakan kepentingan ilmu dan pengetahuan dan pelajaran dalam mengangkat kemuliaan bangsa.
Tangan
Tangan bermaksud penyatuan dan keazaman.
Cogankata GPMS
Motto atau Cogankata ialah "Belajar Terus Belajar"
MUKADIMAH GPMS
Berdasarkan panji-panji 4 Sedar GPMS
01
SEDAR
atas perlunya disatukan tenaga sekalian pelajar-pelajar Melayu Semenanjung Tanah Melayu
02
SEDAR
akan kemunduran kami di alam pengetahuan
03
SEDAR
atas kewajipan kami untuk meningkatkan darjat pengetahuan bangsa
04
SEDAR
bahawa maju-mundur, kaya-miskin dan hina-mulianya bangsa itu di tangan kami
Sejarah Penubuhan GPMS
Pertubuhan ini dikenali dengan nama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Nama pertubuhan ini dalam Bahasa Inggeris ialah "Federation of Malay Students' Union". GPMS telah ditubuhkan pada 15 Ogos 1948 semasa Kongres Penuntut Melayu Se-Malaya pada 14 dan 15 Ogos 1948 di Maktab Teknik, Jalan Bandar @ Hale, Kuala Lumpur melalui inisiatif enam (6) orang pelajar dari Kolej Raffles dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura. Pengasas GPMS ialah:

YBhg. Dato’ Paduka Dr Abdul Wahab Mohamed Ariff
YBhg. Dato’ Seri Dr Aminuddin Baki
YABhg. Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
YBhg. Madya Dato’ Dr Mohd Nor Marahakim
YBhg. Tan Sri Sulaiman Pa’wanteh
YBhg. Datuk Abdullah Majid


GPMS ialah sebuah badan bukan kerajaan yang diwakili oleh pelajar Melayu semenanjung. GPMS merupakan satu-satunya persatuan pelajar kebangsaan yang mula ditubuhkan di negara ini hasil kesedaran kepentingan akademik dalam kalangan anak Melayu. Sebenarnya GPMS telah pun melalui empat peringkat masa iaitu dengan penubuhan beberapa kumpulan pelajar Melayu yang dengan sedar meningkatkan kualiti pelajaran dan pendidikan orang Melayu.
Dasar GPMS
GPMS berdasarkan pelajaran, pendidikan dan bekerjasama dengan badan-badan yang berusaha meninggikan taraf pendidikan dan masyarakat sesuai dengan kemajuan semasa.
Tujuan GPMS
01
Mengadakan aktiviti-aktiviti pelajaran dan pendidikan termasuk diskusi, ceramah, seminar, latihan, kebudayaan, kesukanan, keagamaan, penerangan, kaunseling dan motivasi dalam menyediakan pelajar dan masyarakat yang mampan, berilmu, beriman, bertaqwa sebagai persediaan membentuk generasi pelapis kepada kepimpinan negara.
02
Menjalinkan kerjasama dengan pihak kerajaan dalam menjaya dan melaksanakan dasar-dasarnya yang berkaitan dengan pembangunan pendidikan selaras dengan Dasar Pendidikan Negara.
03
Mengembang, menggalak dan menimbulkan kesedaran pendidikan berpersatuan kepada para pelajar di sekolah bagi melahirkan generasi pemimpin di peringkat muda dalam bentuk kegiatan luar darjah dengan mendapat kebenaran Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.
04
Menjadi badan penasihat dan pemberi bimbingan kepada ahli-ahli dalam mengatasi masalah yang berkaitan dengan pelajaran dan pendidikan.
Lagu Rasmi GPMS
Timbulnya Gabungan Pelajar Melayu
Setelah menempuh halangan
Bahagia hendaknya memimpin pelajar
Bagi ibu kandungan

Kekal berpanjangan, khidmat mulia
Dengan tulus dan setia
Cekal bersatu lambang kita
Menuntut hingga berjaya (Ulang 2 kali)
Ciptaan : Allahyarham Yub Rawan

Klik Untuk Mendengar Lagu Rasmi GPMS
Kolaborasi bersama GPMS
Bekerjasama dengan kami untuk menjana impak yang bermakna bagi pelajar dan masyarakat umum sekalian.
Hubungi Kami